Monday 21 November 2011

Panggilan pertama

8 April 2005 merupakan satu lagi tarikh kenangan buat ~syukriedayu~ kerana pada hari ini aku buat pertama kalinya menalifon Edayu dan bersembang dengannya melalui perbualan telefon. Masih aku ingat pada petang Jumaat itu aku pulang dari asrama putera SMK Sri Mersing bersama buku latihan ekonomi. Buku latihan ekonomi wajib aku bawa bersama kerana didalamnya tercatit nombor telefon Edayu. 

Aku memang berhasrat untuk menalifon Edayu kerana sebelum ini kami hanya berbual apabila di sekolah sahaja dan aku rasakan inilah masa yang sesuai selepas pelbagai peristiwa manis berlaku antara aku dan Edayu semasa menjayakan galeri sejarah. Petang itu setiba aku di rumah, aku cuba menalifon Edayu menggunakan telefon di rumah untuk mendapat kepastian yang nombor tercatit pada buku ekonomi adalah miliknya. Setelah beberapa kali bunyi deringan, satu suara yang aku cukup mengenali menjawab dan aku terus meletakkan telefon. Memang sah itu nombor Edayu.

Aku menjadi semakin teruja dan merancang untuk menalifon Edayu pada waktu malam. Kemudian aku pergi ke kedai untuk membeli kad tambah nilai bagi memastikan perbualan pertama aku bersama Edayu tidak terputus kerana kredit telefonku hanya tinggal beberapa ringgit sahaja. 

Malam itu aku bersama Along pergi ke rumah Tok Mak untuk bermalam bersama nenek kesayangan. Kebetulan pakcik dan makcik aku datang dan kami bersembang hinnga larut malam. Hatiku menjadi gelisah kerana melihat jam sudah melewati 10 malam kerana aku takut sekiranya Edayu sudah tidur pada waktu ini. Tepat 10.30 malam, kesemua pakcik dan makcik aku pulang ke rumah masing-masing dan aku terus mencapai telefonku dan membuat panggilan kepada Edayu. Panggilan telefonku dijawab dan Edayu dapat meneka orang yang menalifonya itu adalah aku.

Malam itu kami berbual panjang sehingga jam 12 tengah malam. Masa yang berlalu aku rasakan begitu sekejap pada detik bunga-bunga cinta antara aku dan Edayu baru nak bercambah. Malam itu Edayu membuka cerita mengenai gambar kami berdua yang diambil semasa hari perasmian galeri sejarah dan gambar itu telah siap dicuci. Aku mengambil kesempatan ini untuk meminta Edayu membawa gambar-gambar itu ke sekolah dan diberikan kepada aku dahulu untuk melihatnya sebelum rakan sekelas yang lain. Edayu bersetuju dan kemudia perbualan kami terputus kerana kehabisan kredit. 

Pagi Isnin seperti biasa aku akan sampai ke kelas lebih awal kerana Edayu dihantar oleh Ayahnya setiap pagi dan aku pula datang dari asrama yang hanya berhampiran dengan sekolah. Pagi itu aku menunggu kelibat Edayu di tempat dudukku dan apabila dia melangkah masuk ke dalam kelas, Edayu terus menuju ke arahku dan memberikan 3 album gambar kepadaku. Perbuatan Edayu itu dilihat oleh kesemua rakan sekelas dan mereka mula menghidu tentang hubungan ~syukriedayu~. Setelah melihat kesemua gambar-gambar itu, aku menjeling ke arah Edayu dan dia hanya tersenyum mungkin kerana telah menunaikan janji ketika panggilan telefon pertama ~syukriedayu~...

Sunday 13 November 2011

Galeri bersejarah

Persekolahan berjalan seperti biasa, aku pula semakin rapat dengan Edayu dan kerap menegurnya. selepas memori 25 Februari. Jika sebelum ini aku hanya "pandang-pandang jeling-jeling" sahaja, tetapi kini kadang kala aku bergurau dan mengusik Edayu. Sehinggalah satu hari pada awal bulan Mac aku dipanggil oleh Cikgu Azidah untuk membantu pihak sekolah bagi menyiapkan galeri sejarah SMK Seri Mersing. 

Pelik bercampur hairan kerana aku tidaklah begitu mengenali Cikgu Azidah tetapi aku dipanggil untuk membantu menyiapkan geleri sejarah. Rupa-rupanya Edayu yang meletakan nama aku kerana dia telah terlibat dengan projek galeri ini dari awal tahun. Itupun aku dapat tahu melalui rakan perempuan sekelas yang turut terlibat dengan projek ini. Kini, setiap petang selepas waktu sekolah, aku antara orang yang paling bersemangat untuk ke galeri sejarah kerana ada Edayu disitu.

Pada satu hari ketika semua orang tengah sibuk menyiapkan kerja yang diberikan, aku pula baru selesai membersihkan piala-piala lama yang ada di dalam galeri. Aku pun keluar melihat rakan-rakan yang lain untuk membantu mereka menyiapkan tugas yang diberikan. Orang pertama yang aku cari sudah tentu Edayu. Ketika itu dia sedang sibuk membasuh bunga-bunga lama untuk dijemur.

Tanpa berlengah aku terus menuju ke arah Edayu dan menyatakan hasrat untuk membantu. Kami pun bersama-sama menyiapkan kerja membasuh dan menjemur bunga sehingga selesai. Peluang bersama Edayu ini aku gunakan untuk bersembang dan mengenalinya dengan lebih rapat. Semasa kami membasuh bunga, baju Edayu basah dibahagian lengan tangan baju itu dan menyebabkan dia tidak selesa dengan bajunya yang basah.

Kemuadian aku mencadangkan kepada Edayu untuk menggunakan vakum bagi mengeringkan pakainya yang basah dan Edayu meminta aku untuk membantu. Sekali lagi peluang ini aku gunakan untuk mengambil hati Edayu dan aku menagmbil vakum didalam galeri sejarah lalu mengeringkan pakaian Edayu. Selepas kejadian itu, aku dan Edayu semakin bertambah rapat dan mesra.

Walaupun aku dan Edayu sudah menjadi rapat, tetapi aku masih belum mempunyai nombor "handphone" Edayu. Kelu lidah aku untuk bertanya dan meminta daripadanya. Maka pada suatu hari ketika semua orang sedang berehat, aku meminjam "handphone" rakan sekelas dan mengatakan yang aku ingin menghantar sms kepada keluargaku. Tetapi sebenarnya aku ingin mengambil nombor Edayu dan aku catit pada buku rujukan ekonomi yang aku bawa ketika itu. Namun, nombor itu terus tersimpan didalam buku tersebut kerana aku masih mencari hari yang sesuai untuk menalifon Edayu.

Selepas sebulan lebih kami bertungkus lumus menyiapkan galeri sejarah, akhirnya pegawai daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor datang untuk menilai pada tarikh 6 April 2005. Kebetulan tarikh ini adalah hari lahir Ibu Edayu, aku dapat tahu pun melalui cakap-cakap daripada rakan sekelas yang lain. Pada hari ini, kesemua AJK yang terlibat dengan galeri sejarah dikehendaki memakai baju melayu dan baju kurung berwarna biru.

Edayu merupakan orang yang paling banyak mendapat perhatian kerana dia membawa kamera untuk mengambil gambar kenang-kenangan bersama AJK galeri sejarah termasuklah bersama aku. Kami bergambar berdua dihadapan galeri tetapi ada peristiwa yang menyebabkan Edayu marah dengan aku kerana gambar yang diambil dihadapan galeri sejarah ini. Itulah gambar berdua pertama Syukri & Edayu dan gambar itu masih cantik dalam simpanan ~syukriedayu~.

Monday 7 November 2011

Sesi persekolahan 2005 bermula

Selamat kembali ke SMK Sri Mersing, memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2005 tiada beza seperti sesi-sesi yang lepas. Tetapi ianya berbeza buat aku, sememangnya aku menantikan detik kembali ke sekolah kerana ada sesuatu yang mendorong untuk aku kembali. Kebiasaanya aku boleh dikategorikan sebagai pelajar yang kurang rajin untuk menyambung pembelajaran, maklumlah aku masuk ke tingkatan 6 pun hasil desakan dan paksaan Abah. 

Namun segalanya berubah apabila aku berjumpa Edayu, dia membuatkan aku bersemangat untuk ke sekolah. Sepanjang cuti hujung tahun yang lepas, aku sentiasa menghitung detik dan saat untuk kembali ke SMK Sri Mersing dan sering bercerita kepada rakan-rakanku mengenai seorang pelajar perempuan yang begitu manambat hati aku. Aku menanam azam seawal hari pertama bermulanya sesi persekolahan untuk belajar bersungguh-sungguh supaya aku dapat menyambung pelajaran ke peringkat universiti bersama Edayu di universiti yang sama.

Januari berlalu begitu pantas, namu aku masih belum berani untuk menyapa Edayu. Walaupun aku dan dia berada dalam kelas yang sama, keberanian itu belum muncul untuk aku bersembang panjang dan berbual berdua bersama Edayu. Februari merupakan bulan yang menjadi titik permulaan aku dan Edayu. 14 Februari 2005, kebiasaanya sambutan hari kekasih disambut oleh seluruh masyarakat dunia pada tarikh ini. Namun, di SMK Sri Mersing, tarikh ini dijadikan sebagai "Hari Terima Kasih".

Pada hari tersebut, aku mendapat 11 hadiah daripada rakan-rakan sekolah dan kesemuanya adalah daripada adik-adik perempuan. 7 jelly, 3 lolly pop dan 1 bar coklat. Jumlah itu membuatkan aku sebagai penerima terbanyak di dalam kelas dan aku telah memberikan salah satu jelly yang aku terima itu kepada Edayu. Itulah saat pertama aku memberikan sesuatu kepada Edayu dalam hidup aku. Keberanian yang aku cari muncul tanpa aku sedari.

Tetapi ada satu perkara yang lebih menarik berlaku dalam hidup aku pada bulan Februari ini. Kejutan yang Edayu lakukan kepada aku pada penghujung Februari. "25 Februari 2005", hari lahir aku yang ke-19. Edayu menjadi orang pertama yang mengucapkan "Happy Birthday Syukri" seawal aku melangkah masuk ke dalam kelas. Terkejur, terkaku dan sangat gembira perasaan aku ketika itu. Budak perempuan yang menjadi perhatian aku membuatkan aku tersenyum sepanjang hari.

Kejutan yang Edayu lakukan kepada aku menyebabkan aku semakin berani berbual bersamanya. Pada hari tersebut, aku telah pergi ke tempat duduk Edayu dan memberitahu yang dia merupakan orang pertama yang mengucapkan selamat hari lahir kepada aku. Tetapi Edayu tidak mempercayai apa yang aku beritahu kepadanya. Dia menyangka yang aku sudah berpunya dan sudah tentu ramai rakan-rakan perempuan lain mengucapkan dahulu sebelumnya.

Namun, hakikatnya memang Edayu merupakan orang pertama kerana ketika itu aku tiada telefon bimbit. Telefon bimbitku telah aku hadiahkan kepada adik perempuanku yang cemerlang dalam UPSR. Semasa aku di meja Edayu, aku telah meminta sesuatu kepunyaannya sebagai hadia hari lahir. Duit syiling 5 sen, itulah hadiah yang Edayu berikan kepadaku dan duit itu masih aku simpan hingga kehari ini.


Sunday 30 October 2011

Undangan jamuan ditolak

Aku sedang dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di SMK Sri Mersing sejak berpindah dari SMK Seri Rompin, Pahang. Mujurlah di dalam kelas aku ada seorang kawan yang aku kenali sejak dari sekolah rendah dan juga Edayu yang selalu mencuri perhatian aku. Jadi, tidaklah bosan kehidupan aku dalam menempuh persekolahan pada penghujung tahun.

Seperti kebiasaan, pada penghujung tahun persekolahan, kebanyakan kelas akan mengadakan jamuan makan hujung tahun yang akan dihadiri oleh pejalar dan guru-guru yang mengajar kelas tersebut. Tidak ketinggalan kelas aku, setiap hari mereka sibuk berbincang mengenai jamuan makan malam. baju apa yang hendak dipakai, tema apa yang ingin dipilih dan bermacam lagi. Namun aku kurang berminat untuk menyertai kerana "title" budak baru menyebabkan aku berasa kekok untuk bersembang apatah lagi aku baru mengenali beberapa orang sahaja di dalam kelas tersebut.

Namun ada yang menarik perhatian aku mengenai jamuan ini. Orang yang paling sibuk tentulah bendahari kelas kerana terpaksa mengutip duit jamuan daripada rakan sekelas termasuk  aku. Edayu, itulah faktor utama yang menjadi tarikan untuk aku sertai jamuan tersebut. Setiap hari Edayu bertanya kepada aku samada mahu sertai atau tidak jamun tersebut. Peluang itulah yang aku gunakan sehabis baik untuk bersembang dengan Edayu. Tetapi akhirnya aku tidak juga menyertai mereka ke jamuan yang di adakan walaupun puas Edayu mengajak untuk aku sertai.

Sebenarnya hati aku kuat mengatakan yang aku nak sertai jamuan itu tapi aku tak tahu kenapa aku menolak pelawaan Edayu sedangkan itulah peluang aku untuk melihat Edayu berpakaian selain dari pakaian seragam yang wajib kami pakai setiap hari. Tapi tak mengapa, setiap tahun pasti ada jamuan. Jamuan makan malam tahun hadapan aku wajib sertai kerana tak mahu terlepas peluang buat kali kedua.

Malam jamuan dah berlalu, tak ada lagi apa-apa aktiviti hujung tahun yang berlangsung. Kami hanya menunggu kehadiran cuti hujung tahun untuk mengambil peluang merehatkan minda sebelum bermula sesi baru persekolahan pada tahun hadapan. Seperti biasa aku gunakan masa yang ada ini untuk melihat Edayu kerana aku masih belum ada keberanian untuk menegurnya. Cukuplah sekadar dapat memandang wajah Edayu yang "ayu" itu sebagai pengubat rindu semasa cuti hujung tahun sebelum aku dapat memandang kembali pada sesi persekolahan tahun hadapan.

Friday 28 October 2011

Pertemuan perpindahan

11 Oktober 2004 menjadi titik permulaan percintaan Syukri & Edayu. Aku ditemani Abah untuk mendaftar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mersing. Pagi itu, masih ku ingat aku menunggu di luar pejabat Pengetua tatkala Abah menyelesaikan urusan di dalam pejabat.

Tanpa ku duga, sekumpulan pelajar perempuan melintas di hadapanku dan aku terpandang kelibat salah seorang yang menarik minat mataku untuk terus terpaku kepadanya. Aku berkata didalam hati "cantik sungguh budak itu, wajahnya putih seperti patung yang berjalan". Lamunanku terhenti apabila mendengar suara Abah memanggil.

Kebetulan Guru Penolong Kanan di sekolah itu adalah sepupu Emak. Cikgu Azizah memberitahu yang aku akan dimasukan dalam kelas 6 ekonomi. Kemudian dia memanggil salah seorang pelajar dan meminta pelajar tersebut membawa aku ke kelas tersebut.

Tiba di muka pintu kelas 6 ekonomi, aku melihat seorang guru sedang mengajar dan aku terus memberi salam untuk masuk ke dalam kelas. Kebetulan yang sedang mengajar adalah guru kelas tersebut yang bernama Cikgu Rafidah. Cikgu Rafidah kemudiannya mengarahkan aku untuk mengambil mana-mana tempat yang kosong dan kembali kehadapan untuk memperkenal diri kepada rakan sekelas.

Saat itu, aku bagaikan terkaku apabila melihat pelajar perempuan yang melintas dihadapanku sebentar tadi juga ada di dalam kelas itu dan duduk di hadapan sekali. Aku terus meperkenalkan diriku serba sedikit kepada rakan sekelas dan kemudiannya Cikgu Rafidah bertanyakan kepada seluruh kelas jika ada apa-apa soalan yang ingin mereka tanyakan kepada aku.

Sekali lagi aku bagaikan kelu tidak berkata apabila pelajar perempuan itu bertanyakan soalan cepu emas kepadaku. Dia bertanyakan adakah aku ini sudah berpunya kekasih. Seluruh kelas mentertawakan aku dan aku tidak menjawab soalan pelajar tersebut. Pelajar itulah Edayu. Nor'Hasni Edayu binti Jasni. Bendahari kelas 6 ekonomi.