Monday 21 November 2011

Panggilan pertama

8 April 2005 merupakan satu lagi tarikh kenangan buat ~syukriedayu~ kerana pada hari ini aku buat pertama kalinya menalifon Edayu dan bersembang dengannya melalui perbualan telefon. Masih aku ingat pada petang Jumaat itu aku pulang dari asrama putera SMK Sri Mersing bersama buku latihan ekonomi. Buku latihan ekonomi wajib aku bawa bersama kerana didalamnya tercatit nombor telefon Edayu. 

Aku memang berhasrat untuk menalifon Edayu kerana sebelum ini kami hanya berbual apabila di sekolah sahaja dan aku rasakan inilah masa yang sesuai selepas pelbagai peristiwa manis berlaku antara aku dan Edayu semasa menjayakan galeri sejarah. Petang itu setiba aku di rumah, aku cuba menalifon Edayu menggunakan telefon di rumah untuk mendapat kepastian yang nombor tercatit pada buku ekonomi adalah miliknya. Setelah beberapa kali bunyi deringan, satu suara yang aku cukup mengenali menjawab dan aku terus meletakkan telefon. Memang sah itu nombor Edayu.

Aku menjadi semakin teruja dan merancang untuk menalifon Edayu pada waktu malam. Kemudian aku pergi ke kedai untuk membeli kad tambah nilai bagi memastikan perbualan pertama aku bersama Edayu tidak terputus kerana kredit telefonku hanya tinggal beberapa ringgit sahaja. 

Malam itu aku bersama Along pergi ke rumah Tok Mak untuk bermalam bersama nenek kesayangan. Kebetulan pakcik dan makcik aku datang dan kami bersembang hinnga larut malam. Hatiku menjadi gelisah kerana melihat jam sudah melewati 10 malam kerana aku takut sekiranya Edayu sudah tidur pada waktu ini. Tepat 10.30 malam, kesemua pakcik dan makcik aku pulang ke rumah masing-masing dan aku terus mencapai telefonku dan membuat panggilan kepada Edayu. Panggilan telefonku dijawab dan Edayu dapat meneka orang yang menalifonya itu adalah aku.

Malam itu kami berbual panjang sehingga jam 12 tengah malam. Masa yang berlalu aku rasakan begitu sekejap pada detik bunga-bunga cinta antara aku dan Edayu baru nak bercambah. Malam itu Edayu membuka cerita mengenai gambar kami berdua yang diambil semasa hari perasmian galeri sejarah dan gambar itu telah siap dicuci. Aku mengambil kesempatan ini untuk meminta Edayu membawa gambar-gambar itu ke sekolah dan diberikan kepada aku dahulu untuk melihatnya sebelum rakan sekelas yang lain. Edayu bersetuju dan kemudia perbualan kami terputus kerana kehabisan kredit. 

Pagi Isnin seperti biasa aku akan sampai ke kelas lebih awal kerana Edayu dihantar oleh Ayahnya setiap pagi dan aku pula datang dari asrama yang hanya berhampiran dengan sekolah. Pagi itu aku menunggu kelibat Edayu di tempat dudukku dan apabila dia melangkah masuk ke dalam kelas, Edayu terus menuju ke arahku dan memberikan 3 album gambar kepadaku. Perbuatan Edayu itu dilihat oleh kesemua rakan sekelas dan mereka mula menghidu tentang hubungan ~syukriedayu~. Setelah melihat kesemua gambar-gambar itu, aku menjeling ke arah Edayu dan dia hanya tersenyum mungkin kerana telah menunaikan janji ketika panggilan telefon pertama ~syukriedayu~...

No comments:

Post a Comment