Monday 7 November 2011

Sesi persekolahan 2005 bermula

Selamat kembali ke SMK Sri Mersing, memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2005 tiada beza seperti sesi-sesi yang lepas. Tetapi ianya berbeza buat aku, sememangnya aku menantikan detik kembali ke sekolah kerana ada sesuatu yang mendorong untuk aku kembali. Kebiasaanya aku boleh dikategorikan sebagai pelajar yang kurang rajin untuk menyambung pembelajaran, maklumlah aku masuk ke tingkatan 6 pun hasil desakan dan paksaan Abah. 

Namun segalanya berubah apabila aku berjumpa Edayu, dia membuatkan aku bersemangat untuk ke sekolah. Sepanjang cuti hujung tahun yang lepas, aku sentiasa menghitung detik dan saat untuk kembali ke SMK Sri Mersing dan sering bercerita kepada rakan-rakanku mengenai seorang pelajar perempuan yang begitu manambat hati aku. Aku menanam azam seawal hari pertama bermulanya sesi persekolahan untuk belajar bersungguh-sungguh supaya aku dapat menyambung pelajaran ke peringkat universiti bersama Edayu di universiti yang sama.

Januari berlalu begitu pantas, namu aku masih belum berani untuk menyapa Edayu. Walaupun aku dan dia berada dalam kelas yang sama, keberanian itu belum muncul untuk aku bersembang panjang dan berbual berdua bersama Edayu. Februari merupakan bulan yang menjadi titik permulaan aku dan Edayu. 14 Februari 2005, kebiasaanya sambutan hari kekasih disambut oleh seluruh masyarakat dunia pada tarikh ini. Namun, di SMK Sri Mersing, tarikh ini dijadikan sebagai "Hari Terima Kasih".

Pada hari tersebut, aku mendapat 11 hadiah daripada rakan-rakan sekolah dan kesemuanya adalah daripada adik-adik perempuan. 7 jelly, 3 lolly pop dan 1 bar coklat. Jumlah itu membuatkan aku sebagai penerima terbanyak di dalam kelas dan aku telah memberikan salah satu jelly yang aku terima itu kepada Edayu. Itulah saat pertama aku memberikan sesuatu kepada Edayu dalam hidup aku. Keberanian yang aku cari muncul tanpa aku sedari.

Tetapi ada satu perkara yang lebih menarik berlaku dalam hidup aku pada bulan Februari ini. Kejutan yang Edayu lakukan kepada aku pada penghujung Februari. "25 Februari 2005", hari lahir aku yang ke-19. Edayu menjadi orang pertama yang mengucapkan "Happy Birthday Syukri" seawal aku melangkah masuk ke dalam kelas. Terkejur, terkaku dan sangat gembira perasaan aku ketika itu. Budak perempuan yang menjadi perhatian aku membuatkan aku tersenyum sepanjang hari.

Kejutan yang Edayu lakukan kepada aku menyebabkan aku semakin berani berbual bersamanya. Pada hari tersebut, aku telah pergi ke tempat duduk Edayu dan memberitahu yang dia merupakan orang pertama yang mengucapkan selamat hari lahir kepada aku. Tetapi Edayu tidak mempercayai apa yang aku beritahu kepadanya. Dia menyangka yang aku sudah berpunya dan sudah tentu ramai rakan-rakan perempuan lain mengucapkan dahulu sebelumnya.

Namun, hakikatnya memang Edayu merupakan orang pertama kerana ketika itu aku tiada telefon bimbit. Telefon bimbitku telah aku hadiahkan kepada adik perempuanku yang cemerlang dalam UPSR. Semasa aku di meja Edayu, aku telah meminta sesuatu kepunyaannya sebagai hadia hari lahir. Duit syiling 5 sen, itulah hadiah yang Edayu berikan kepadaku dan duit itu masih aku simpan hingga kehari ini.


No comments:

Post a Comment