Sunday 30 October 2011

Undangan jamuan ditolak

Aku sedang dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di SMK Sri Mersing sejak berpindah dari SMK Seri Rompin, Pahang. Mujurlah di dalam kelas aku ada seorang kawan yang aku kenali sejak dari sekolah rendah dan juga Edayu yang selalu mencuri perhatian aku. Jadi, tidaklah bosan kehidupan aku dalam menempuh persekolahan pada penghujung tahun.

Seperti kebiasaan, pada penghujung tahun persekolahan, kebanyakan kelas akan mengadakan jamuan makan hujung tahun yang akan dihadiri oleh pejalar dan guru-guru yang mengajar kelas tersebut. Tidak ketinggalan kelas aku, setiap hari mereka sibuk berbincang mengenai jamuan makan malam. baju apa yang hendak dipakai, tema apa yang ingin dipilih dan bermacam lagi. Namun aku kurang berminat untuk menyertai kerana "title" budak baru menyebabkan aku berasa kekok untuk bersembang apatah lagi aku baru mengenali beberapa orang sahaja di dalam kelas tersebut.

Namun ada yang menarik perhatian aku mengenai jamuan ini. Orang yang paling sibuk tentulah bendahari kelas kerana terpaksa mengutip duit jamuan daripada rakan sekelas termasuk  aku. Edayu, itulah faktor utama yang menjadi tarikan untuk aku sertai jamuan tersebut. Setiap hari Edayu bertanya kepada aku samada mahu sertai atau tidak jamun tersebut. Peluang itulah yang aku gunakan sehabis baik untuk bersembang dengan Edayu. Tetapi akhirnya aku tidak juga menyertai mereka ke jamuan yang di adakan walaupun puas Edayu mengajak untuk aku sertai.

Sebenarnya hati aku kuat mengatakan yang aku nak sertai jamuan itu tapi aku tak tahu kenapa aku menolak pelawaan Edayu sedangkan itulah peluang aku untuk melihat Edayu berpakaian selain dari pakaian seragam yang wajib kami pakai setiap hari. Tapi tak mengapa, setiap tahun pasti ada jamuan. Jamuan makan malam tahun hadapan aku wajib sertai kerana tak mahu terlepas peluang buat kali kedua.

Malam jamuan dah berlalu, tak ada lagi apa-apa aktiviti hujung tahun yang berlangsung. Kami hanya menunggu kehadiran cuti hujung tahun untuk mengambil peluang merehatkan minda sebelum bermula sesi baru persekolahan pada tahun hadapan. Seperti biasa aku gunakan masa yang ada ini untuk melihat Edayu kerana aku masih belum ada keberanian untuk menegurnya. Cukuplah sekadar dapat memandang wajah Edayu yang "ayu" itu sebagai pengubat rindu semasa cuti hujung tahun sebelum aku dapat memandang kembali pada sesi persekolahan tahun hadapan.

Friday 28 October 2011

Pertemuan perpindahan

11 Oktober 2004 menjadi titik permulaan percintaan Syukri & Edayu. Aku ditemani Abah untuk mendaftar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mersing. Pagi itu, masih ku ingat aku menunggu di luar pejabat Pengetua tatkala Abah menyelesaikan urusan di dalam pejabat.

Tanpa ku duga, sekumpulan pelajar perempuan melintas di hadapanku dan aku terpandang kelibat salah seorang yang menarik minat mataku untuk terus terpaku kepadanya. Aku berkata didalam hati "cantik sungguh budak itu, wajahnya putih seperti patung yang berjalan". Lamunanku terhenti apabila mendengar suara Abah memanggil.

Kebetulan Guru Penolong Kanan di sekolah itu adalah sepupu Emak. Cikgu Azizah memberitahu yang aku akan dimasukan dalam kelas 6 ekonomi. Kemudian dia memanggil salah seorang pelajar dan meminta pelajar tersebut membawa aku ke kelas tersebut.

Tiba di muka pintu kelas 6 ekonomi, aku melihat seorang guru sedang mengajar dan aku terus memberi salam untuk masuk ke dalam kelas. Kebetulan yang sedang mengajar adalah guru kelas tersebut yang bernama Cikgu Rafidah. Cikgu Rafidah kemudiannya mengarahkan aku untuk mengambil mana-mana tempat yang kosong dan kembali kehadapan untuk memperkenal diri kepada rakan sekelas.

Saat itu, aku bagaikan terkaku apabila melihat pelajar perempuan yang melintas dihadapanku sebentar tadi juga ada di dalam kelas itu dan duduk di hadapan sekali. Aku terus meperkenalkan diriku serba sedikit kepada rakan sekelas dan kemudiannya Cikgu Rafidah bertanyakan kepada seluruh kelas jika ada apa-apa soalan yang ingin mereka tanyakan kepada aku.

Sekali lagi aku bagaikan kelu tidak berkata apabila pelajar perempuan itu bertanyakan soalan cepu emas kepadaku. Dia bertanyakan adakah aku ini sudah berpunya kekasih. Seluruh kelas mentertawakan aku dan aku tidak menjawab soalan pelajar tersebut. Pelajar itulah Edayu. Nor'Hasni Edayu binti Jasni. Bendahari kelas 6 ekonomi.